Saturday, August 28, 2010

Minggu 7: Jurnal Refleksi

Selamat sejahtera.........
Mulai minggu ini perbentangan setiap kumpulan bermula. Kumpulan pertama bermula dengan tajuk keroncong dan kumpulan kedua pula ialah kuda kepang.

Keroncong

Terdapat 6 istilah bagi keroncong iaitu gelang keroncong, nasi keroncong, alat muzik keroncong, muzik keroncong, keroncong asli dan teh keroncong. Pembentangan ini bermula dengan sejarah keroncong. Muzik keroncong ini dibawa masuk oleh orang Portugis pada zaman mereka berkuasa di Asia Tenggara. Berdasarkan pembentangan mereka, keroncong adalah kacukan antara alat muzik Barat dengan gamelan dan maka melahirkan muzik ini.

Salah satu jenis gamelan yang terkenal adalah Gamelan Degung yang terdapat di Sunda atau Jawa Barat. Bentuk permainannya hampir sama dengan permainan muzik keroncong dari segi peranan alat-alat yang digunakan dan rentaknya.

Muzik keroncong ini mula masuk ke Malaysia pada sekitar tahun 1940-an. Terdapat juga evolusi alat berlaku pada masa itu, contohnya rebana digantikan dengan petikan gitar dan pertambahan alat seperti flute ke dalam ensemble keroncong.

Alat muzik keroncong yang terdapat di ensemble keroncong sekarang terdiri daripada biola, flute, gitar, cuk, cak, celo dan double bass. Semua alat ini berasal dari Eropah.

Kumpulan ini telah membekalkan maklumat yang bagus tetapi terdapat sedikit maklumat yang kurang jelas. Mereka harus mendapatkan maklumat yang betul sebelum pembentangan supaya kita faham terutamanya pelajar yang bukan pelajar pendidikan muzik. Kerja lapangan yang telah dijalankan oleh kumpulan ini amat menarik. Mereka mendapatkan banyak maklumat dari senior kita yang pakar dalam keroncong dan dengan adanya video tersebut, saya lebih memahami tentang muzik keroncong ini.





Kuda Kepang


Tarian kuda kepang merupakan sejenis tarian rakyat Melayu traditional. Tarian ini ialah tarian warisan budaya Jawa dengan pengaruh Islam. Alat-alat muzik yang terdapat di kuda kepang ini ialah gendang Jawa, Jidur, Saron peking, Gong, Kenong kuda kepang, Angklung dan Bonang. Kostum bagi pemain kuda kepang adalah pakaian tradisi Jawa Kuno, seluar dijahit dengan batik Jawa dan ketopang atau tengkolok. Kuda kepang biasanya dipersembahkan di tempat terbuka. Sebelum bermula, tok bomoh akan menjalankan upacara seperti membakar kemenyan dan membaca jampi untuk memberi tenaga kepada kuda-kuda. 25 orang pemain kuda kepang diperlukan untuk persembahan tersebut.

Terdapat beberapa pantang larang untuk tarian kuda kepang. Sebelum memulakan tarian kuda kepang, terdapat istiadat pembukaan gelanggang. Tok bomoh persembahan diberi pengeras seperti kemeyan, tempat bara membakar kemeyan, nasi campur dengan lauk ayam dan sayur, air metah dan beberapa jenis kuih. Dia juga diberi wang sebanyak RM2.25 dan tidak kurang daripada RM200. Mereka tidak boleh melihat kain berwarna merah, tidak dibenarkan terlihat mahupun melihat kaca ataupun sepihan kaca kerana ini dikhuatiri akan dimakan oleh penari. Mereka tidak boleh diacah semasa dalam tarian kerana dikhuatiri akan melarat dan menjadikan keadaan tidak terkawal. Gelanggang kuda kepang biasanya saiz 40x60m dan tiada gelanggang yang khusus.

Kerja lapangan kumpulan ini dijalankan di Batu Pahat, Johor. En Madi telah memberikan sedikit maklumat tentang kuda kepang, tetapi maklumat tidak jelas. Mungkin kerana masa yang tidak cukup, jadi pembentangan ini terpaksa menghabiskan pembentangan mereka dengan cepat. Oleh itu, banyak maklumat tidak dijelaskan dengan teliti.




Pembentangan pada hari ini amat menarik, menurut kawan yang membentang tajuk kuda kepang, mereka berkata kuda kepang telah diharamkan di negeri Johor. Kalau pengharaman kuda kepang ini bertambah, maka muzik traditional ini akan pupus pada masa yang akan datang. Saya berharap pihak berkenaan boleh mengambil tindakan untuk mengekalkan muzik traditional ini supaya ia dapat diwarisi turun-temurun.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua kumpulan ini kerana telah membuka minda saya tentang keroncong dan kuda kepang. Tahniah kepada kamu semua.........
Teruskan Membaca...

Friday, August 20, 2010

Minggu 6: Jurnal Refleksi

Selamat sejahtera semua.........

Sedar tak sedar kita sudah masuk minggu ke 6. Pada kuliah minggu ke 6 ini, kita masuk topik Mak Yung dan Kompang. Seperti biasa, En Amran telah menayangkan 4 video yang berkaitan dengan mak yung dan menora supaya memberikan sedikit gambaran tentang mak yung kepada
kita. Objektif untuk topik mak yung ini adalah sejarah mak yung, persembahan dan alat muzik dan muzik mak yung dari segi melodi, bentuk dan irama.

Mak Yung
Mak Yung tergolong dalam kategori bentuk seni lakon yang sama seperti menora, mekmulung dan jikey. Untuk pengetahuan semua, mak yung berasal dari perkataan mak yang. Perkataan "yang" bermaksud padi. Ia biasanya mengaitkan tarian dengan semangat padi yang digelar sebagai Mak Hiang. Mak yung berasal dari Patani dan kemudian disebar luas ke Semenanjung Malaysia, Medan dan Kepulauan Riau-Lingga di Indonesia. Terdapat 2 tujuan persembahan mak yung iaitu untuk tujuan ritual dan persembahan. Mak yung dipersembahkan melalui Main Puteri untuk tujuan penyembuhan penyakit. Persembahan tersebut dipersembahkan di atas lantai dan tiada pentas.

Satu istilah yang sangat penting: Satu-satunya yang diiktiraf oleh UNESKO ialah mak yung!!

Kenapa watak utama dalam mak yung biasanya adalah perempuan?
Jawapan: Sebab pada zaman dahulu, mak yung dipersembahkan di dalam istana semasa raja tiada dalam istana. Maka untuk mengelakkan permaisuri-permaisuri terpikat oleh lelaki lain, maka watak utama mak yung biasanya perempuan kecuali peran.

Lagu-lagu yang dimainkan adalah Mengadap Rebab, Kijang Mas dan lagu Sindung. Persembahan mak yung biasanya dibuka dengan lagu "Mengadap Rebab" diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik.


Mengadap Rebab

Alat muzik utama dalam mak yung adalah sepasang gendang, sepasang tetawak dan sebuah rebab 3 tali. Pada zaman sekarang ditambahkan dengan serunai, geduk dan canai.


Untuk pengetahuan semua, bonggol kecil di rebab ini dipanggil SUSU yang diperbuat daripada lilin lebah dan berfungsi untuk meredam bunyi.

Form atau bentuk lagu mak yung dikawal oleh tetawak. Irama menggunakan 4 timbre iaitu pak,duh,cak,ting.







Irama lagu (pak, duh, cak, ting)


Biasanya melodi lagu mak yung akan dipersembahkan oleh seorang penyanyi dan alat muzik rebab dan melodi adalah berhias dan kompleks.






Melodi lagu









Kompang
Objektif bagi topik kompang pula adalah sejarah, alat muzik dan muzik kompang iaitu tempo dan rentak.

Kompang berasal dari Arab di Asia Barat iaitu Timur Tengah, ia juga dikenali sebagai Dufuf, Daff, Duff, Tar atau Bendir. Kompang biasanya dimainkan untuk tujuan meraikan perkahwinan, majlis keraian Islam, Maulidulrasul dan berkhatan. Pada zaman kini kompang dimainkan untuk menyambut ketibaan pemimpin ataupun acara rasmi.

Terdapat beberapa adab yang hendak dipatuhi apabila bermain kompang iaitu menitikberatkan pakaian pemain, tidak boleh melentangkan kompang, tidak boleh melambung kompang dan tidak boleh meletakkan arah kulit muka kompang ke lantai. Terdapat 2 bahagian yang penting untuk kompang iaitu belulang dan baluh. Belulang ini merupakan kulit kambing betina.





Permainan kompang boleh dibahagikan kepada 4 jenis iaitu Kompang Hadrah (Perak), Kompang Johor/Jawa, Kompang Ezhar (Selangor) dan Kompang Kelalang (Melaka).










Sebagai bakal guru muzik, kita harus tahu saiz kompang yang berlainan mengikut umur tertentu.















Pemain kompang boleh bermain secara duduk, berdiri dan berjalan bergantung kepada kehendak persembahan. Kompang dimainkan dengan memukul dan mengetuk kulit dengan tangan atau jari. Sebelah tangan memegang bingkai kompang manakala satu tangan lagi digunakan untuk memukul. Pemain perlu merapatkan jari-jari dan memukul di bahagian sisi kompang untuk menghasilkan bunyi "pung". Untuk menghasilkan bunyi "pak" pula, jari-jari perlu diregangkan dan kompang dipukul di bahagian tengah.





posisi pemain



Terdapat 3 jenis paluan iaitu kumpulan melalu, menyilang dan meningkah. Setiap persembahan kompang terdiri daripada 3 bahagian iaitu mula-->lagu-->mati.


Rentak inang



Rentak Masri



Rentak Asli

Pada akhir kuliah ini, kita sempat bermain kompang lagi dan saya dapat belajar perkara baru selepas kuliah minggu ini. Saya berharap maklumat yang saya dapat ini dapat membantu saya dan kawan-kawan untuk menambahkan lagi pengetahuan.

Sekian, terima kasih...............

Teruskan Membaca...

Friday, August 13, 2010

Minggu 5: Jurnal Refleksi


.....Selamat Sejahtera....

Kuliah pada minggu ke 5 ini adalah mengenai gamelan dan caklempong.

Objektif bagi topik gamelan adalah :
i. sejarah dan jenis-jenis gamelan,
ii. alat muzik gamelan dan
iii. sistem tonal, melodi, bentuk dan tekstur.

Objektif bagi topik caklempong pula adalah:
i. sejaraha caklempong
ii. alat muzik caklempong dan
iii. sistem tonal, melodi, bentuk dan irama.


Gamelan

Menurut http://ms.wikipedia.org/wiki/Gamelan, gamelan adalah himpunan alat muzik yang biasanya menonjolkan metalofon, gambang, gendang, dan gong. Perkataan "gamelan" berasal daripada perkataan Jawa iaitu "gamel" yang bermaksud pukul. Menurut penerangan dari En. Amran, alat muzik gamelan Melayu diperbuat daripada perunggu.
Terdapat 2 jenis gamelan di Malaysia iaitu Gamelan Melayu dan Gamelan Jawa. Gamelan Melayu tergolong dalam Muzik Bentuk Tarian Utama. Ia juga dikenali sebagai Gamelan Terengganu atau Joget Gamelan. Gamelan Melayu ini dimainkan di Istana Riau Lingga pada abad ke 18. Pada awal abad ke 20 ia dipindah ke Istana Maziah, Kuala Terengganu untuk meraikan majlis perkahwinan Sultan Sulaiman dengan Tengku Mariam. Di sinilah berlaku perubahan iaitu bermula identiti Muzik Gamelan Melayu dan Jawa dipisahkan berdasarkan penciptaan lagu baru dan mewujudkan sistem talaan supaya senang disebut. Teknik bermain gamelan adalah gembiang.

Sistem Talaan


Gamelan Jawa juga dikategorikan dalam Muzik Bentuk Tarian Utama. Set alat muzik diperbuat daripada gangsa. Alat muzik yang diperbuat daripada perunggu dan gangsa akan menghasilkan ton warna yang berbeza. Bagi Gamelan Jawa, ia mempunyai alat muzik kordofon, erofon dan membranofon berserta penyanyi perempuan dan lelaki, sedangkan Gamelan Melayu tidak mempunyai alat muzik kordofon dan erofon. Gamelan Jawa berasal dari Pulau Jawa Tengah. Gamelan ini boleh didapati di Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan dan ia berfungsi sebagai permainan rakyat dan bukannya terhad untuk persembahan istana sahaja. Penyusunan alat-alat muzik gamelan tidak sama seperti Gamelan Melayu, contohnya 3 gong akan digunakan dalam Gamelan Jawa. Gamelan Jawa dimainkan dalam skel slendro dan pelog. Skel pelog mengandungi 7 ton manakala slendro mengandungi 5.








Susunan alat muzik Gamelan Jawa






Gamelan Jawa

Sistem notasi gamelan dikenali sebagai Sistem Kepatihan iaitu sistem menggunakan nombor yang masih kekal digunakan sampai sekarang.







Caklempong
Caklempong dikenali sebagai telempong, tak lempong dan talempong. Ia berasal dari Minangkabau dan ia bertujuan untuk mengiringi nyanyian, tarian lilin, pencak silat, majlis perkahwinan dan keramaian.


Alat muzik Caklempong terdiri daripada gereteh, sauwa/tingkah, gendang ibu dan anak, bangsi dan serunai. Biasanya gereteh akan memainkan melodi lagu dan lagu bagi caklempong adalah laju, oleh itu pemain gereteh akan bermain dengan laju.



















Tingkah dan Sauwa adalah alat muzik yang sama tetapi cara bermain yang berbeza. Caklempong tingkah banyak tertumpu kepada pengawalan rentak dan menghasilkan irama mengikut pukulan gendang. Ketukannya hanya melalu dan mudah dimainkan. Manakala Caklempong Sauwa diketuk mengikut corak irama ostinato dan bergerak mengikut kod melodi.





Selepas kelas ini banyak yang saya belajari walaupun saya sudah mengambil kursus gamelan dan caklempong. Saya baru sedar bahawa banyak lagi istilah dan maklumat tentang gamelan dan caklempong yang saya tidak tahu. Terima kasih kepada En. Amran yang banyak membantu kami untuk menambahkan lagi pengetahuan kami....

~Sekian, terima kasih...~

Teruskan Membaca...

Thursday, August 5, 2010

Minggu 4: Jurnal Refleksi

Selamat sejahtera kepada kawan-kawan yang masih terus bersama dengan kursus SMP2252 ini......

Posting ini merupakan posting yang ke-4 saya untuk kursus ini. Saya berasa kursus ini semakin menarik perhatian saya dan ilmu yang saya dapat semakin bertambah. Dengan gambar yang saya tunjuk di atas, yup, kuliah minggu ini adalah mengenai wayang kulit!!

Tetapi, sebelum kuliah hari ini bermula, En Amran menunjukkan beberapa video yang sangat menarik yang bertajuk "Shadowland" untuk menarik perhatian kami. Video ini mendapatkan idea dari wayang kulit dan diubahsuaikan dengan kreativiti mereka.




Objektif atau sasaran kuliah minggu 4 ini merangkumi 3 aspek iaitu jenis wayang kulit, alat-alat muzik wayang kulit dan perbezaan antara wayang kulit.

Sebelum masuk ke 3 aspek-aspek di atas, kita mengenali muzik wayang kulit dulu. Muzik wayang kulit juga dikenali sebagai teater kuno atau bersejarah lama tradisional Malaysia yang mengisahkan seorang dalang dan bayang patung-patung di atas kelir. Dalang memainkan peranan yang penting dalam wayang kulit ini, dia perlu menghafal lagu dan memainkan pelbagai peranan seperti penulis cerita, pengarah lakonan, pengatur pentas, penyusun iringan, pengisah, pemain watak dan juga penyanyi. (Sumber dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Dalang)
Terdapat 4 jenis wayang kulit di Malaysia, iaitu Wayang Kulit Jawa, Wayang Gedek, Wayang Kulit Melayu dan Wayang Kulit Kelantan. Setiap jenis wayang kulit ini berbeza dari segi alat muzik yang digunakan, jalan cerita, patung dan bahasa. Untuk pengetahuan semua, patung yang digunakan dalam wayang kulit dibuat daripada kulit (seperti kulit lembu), plastik, lutsinar dan kertas tebal.

Dalang

Wayang Kulit Jawa
Wayang kulit ini berasal dari Indonesia dan dikenali sebagai Wayang Purwa. Wayang kulit Jawa ini dipersembahkan oleh orang yang berketurunan Jawa di Johor dan Selangor. Wayang kulit yang dipersembahkan oleh kedua-dua negeri ini merupakan Wayang Kulit Jawa,cuma cerita itu tidak sama. Wayang kulit ini masih mengekalkan ciri wayang kulit purwa asli iaitu berunsur epik Ramayana dan Mahabrata.

~Alat muzik : Gamelan Jawa iaitu bonang barong dan bonang penerus yang akan mengiringi Wayang Kulit Jawa dan terdiri dari pemuzik dan penyanyi. Tiada kordofon dan aerofon.
~Cerita : Ceritanya berdasarkan cerita Mahabrata dan tiada pengaruh cerita panji(perang).
~Patung : menyerupai patung wayang kulit Kelantan, berbeza dari segi bentuk mata patung, dua-dua sendi tangan bergerak.
~Bahasa : bahasa Jawa dengan dialek Melayu tempatan.

Gamelan Jawa

Patung Wayang Kulit Jawa





Wayang Gedek
Wayang Gedek biasa dimainkan di kawasan utara Semenanjung Malaysia iaitu Perlis dan Kedah dan dikenali sebagai Nang Talung. Ia berasal dari Thailand dan berdasarkan cerita Epos Ramayana atau Ramakien.

~Alat Muzik : Kordofon-Saw oo dan Saw Duang
Membranofon-Klong That, Thon dan Klong Khaek
Aerofon-Shawm iaitu Pi / Pi Jawa
Idiofon-Ching dan Gong Chime (Mong)
~Cerita : Epik Ramayana, dominan dengan pengaruh Siam, banyak diselitkan babak cerita yang popular masa kini.
~Patung : Patung kecil dengan muka posisi depan, sendi tangan hanya bergerak sebelah dan menunjukkan pengaruh Nong Talung.
~Bahasa : campuran Bahasa Thai dan loghat Siam mahupun dialek Melayu Kedah.

Wayang Gedek Saw Duang


Klong Khaek





Wayang Kulit Melayu (Wayang Jawa)
Wayang Kulit Melayu ini dipengaruhi oleh Wayang Purwa dari Indonesia. Ia dimainkan di Istana Patani dan ia masih ada di Kampung Cicah, Kelantan. Ia merupakan cerita Epik Mahabrata. Pada abad 19/20 ia berkembang di bawah naungan Raja untuk hiburan bangsawan di Kedah dan Kelantan.

~Alat Muzik : menggunakan rebab 2 tali dengan tuning F2 dan C5, gendang ibu dan gendang anak, mong, canang, kesi dan gong.
~Cerita : berdasarkan episod dari epik Mahabrata (cerita Pendawa Lima), dipengaruhi oleh cerita Panji.
~Patung : Bergerak kedua-dua belah tangan patung, mengenalpasti mengikut kedudukan kepala dan bentuk patung mengikut stail Pulau Jawa.
~Bahasa : Bahasa Jawa dan dialek Melayu tempatan.

rebab canang

kesi





Wayang Kulit Kelantan
Ia merupakan teater rakyat dan sangat popular di kalangan masyarakat. Wayang Kulit Kelantan ini berunsurkan epik Ramayana. Dalam wayang kulit ini mempunyai watak peran (watak lawa) seperti Pak Dogol dan Wak Long.

~Alat muzik : geduk, gendang, gedumbak, serunai, sepasang canang, kesi dan sepasang tetawak.
~Cerita : berdasarkan cerita Hikayat Seri Rama dan disadur dari epik Ramayana tradisi India.
~Patung : bentuk mengiring, berdiri di atas kenderaan, tangan di sebelah bergerak sambil memegang alat senjata.
~Bahasa : dialek Melayu Kelantan yang mempamerkan pengaruh Patani.

Wayang kulit Kelantan Geduk

Gedumbak Tetawak




Walaupun wayang kulit menggunakan bahasa Jawa dan bahasa Kelantan, tetapi dengan ada seni kata dan bertanya kepada kawan, saya dapat faham sedikit tentangnya. Wayang Kulit Jawa dan Wayang Kulit Melayu mempunyai persamaan dari segi pengaruh, gerakan sendi dan kedudukan mengiring; manakala Wayang Kulit Gedek dan Wayang Kulit Kelantan beza dengan kedua-dua tadi. Walaubagaimanapun, 4 jenis wayang kulit ini masih mengekalkan ciri asal berpakaian. dari segi patung.

Harap posting saya minggu ini dapat membantu semua dan saya harap wayang kulit ini dapat dikekalkan lagi pada generasi yang akan datang supaya wayang kulit tidak "pupus". Jika mempunyai peluang untuk menyaksikan wayang kulit ini harap tidak melepaskan peluang yang begitu baik. Kita haruslah menghayati persembahan itu dan kita dapat menikmati keindahan yang tersirat dalam wayang kulit ini.


Teruskan Membaca...
 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 TEOH Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template