Saturday, August 28, 2010

Minggu 7: Jurnal Refleksi

Selamat sejahtera.........
Mulai minggu ini perbentangan setiap kumpulan bermula. Kumpulan pertama bermula dengan tajuk keroncong dan kumpulan kedua pula ialah kuda kepang.

Keroncong

Terdapat 6 istilah bagi keroncong iaitu gelang keroncong, nasi keroncong, alat muzik keroncong, muzik keroncong, keroncong asli dan teh keroncong. Pembentangan ini bermula dengan sejarah keroncong. Muzik keroncong ini dibawa masuk oleh orang Portugis pada zaman mereka berkuasa di Asia Tenggara. Berdasarkan pembentangan mereka, keroncong adalah kacukan antara alat muzik Barat dengan gamelan dan maka melahirkan muzik ini.

Salah satu jenis gamelan yang terkenal adalah Gamelan Degung yang terdapat di Sunda atau Jawa Barat. Bentuk permainannya hampir sama dengan permainan muzik keroncong dari segi peranan alat-alat yang digunakan dan rentaknya.

Muzik keroncong ini mula masuk ke Malaysia pada sekitar tahun 1940-an. Terdapat juga evolusi alat berlaku pada masa itu, contohnya rebana digantikan dengan petikan gitar dan pertambahan alat seperti flute ke dalam ensemble keroncong.

Alat muzik keroncong yang terdapat di ensemble keroncong sekarang terdiri daripada biola, flute, gitar, cuk, cak, celo dan double bass. Semua alat ini berasal dari Eropah.

Kumpulan ini telah membekalkan maklumat yang bagus tetapi terdapat sedikit maklumat yang kurang jelas. Mereka harus mendapatkan maklumat yang betul sebelum pembentangan supaya kita faham terutamanya pelajar yang bukan pelajar pendidikan muzik. Kerja lapangan yang telah dijalankan oleh kumpulan ini amat menarik. Mereka mendapatkan banyak maklumat dari senior kita yang pakar dalam keroncong dan dengan adanya video tersebut, saya lebih memahami tentang muzik keroncong ini.





Kuda Kepang


Tarian kuda kepang merupakan sejenis tarian rakyat Melayu traditional. Tarian ini ialah tarian warisan budaya Jawa dengan pengaruh Islam. Alat-alat muzik yang terdapat di kuda kepang ini ialah gendang Jawa, Jidur, Saron peking, Gong, Kenong kuda kepang, Angklung dan Bonang. Kostum bagi pemain kuda kepang adalah pakaian tradisi Jawa Kuno, seluar dijahit dengan batik Jawa dan ketopang atau tengkolok. Kuda kepang biasanya dipersembahkan di tempat terbuka. Sebelum bermula, tok bomoh akan menjalankan upacara seperti membakar kemenyan dan membaca jampi untuk memberi tenaga kepada kuda-kuda. 25 orang pemain kuda kepang diperlukan untuk persembahan tersebut.

Terdapat beberapa pantang larang untuk tarian kuda kepang. Sebelum memulakan tarian kuda kepang, terdapat istiadat pembukaan gelanggang. Tok bomoh persembahan diberi pengeras seperti kemeyan, tempat bara membakar kemeyan, nasi campur dengan lauk ayam dan sayur, air metah dan beberapa jenis kuih. Dia juga diberi wang sebanyak RM2.25 dan tidak kurang daripada RM200. Mereka tidak boleh melihat kain berwarna merah, tidak dibenarkan terlihat mahupun melihat kaca ataupun sepihan kaca kerana ini dikhuatiri akan dimakan oleh penari. Mereka tidak boleh diacah semasa dalam tarian kerana dikhuatiri akan melarat dan menjadikan keadaan tidak terkawal. Gelanggang kuda kepang biasanya saiz 40x60m dan tiada gelanggang yang khusus.

Kerja lapangan kumpulan ini dijalankan di Batu Pahat, Johor. En Madi telah memberikan sedikit maklumat tentang kuda kepang, tetapi maklumat tidak jelas. Mungkin kerana masa yang tidak cukup, jadi pembentangan ini terpaksa menghabiskan pembentangan mereka dengan cepat. Oleh itu, banyak maklumat tidak dijelaskan dengan teliti.




Pembentangan pada hari ini amat menarik, menurut kawan yang membentang tajuk kuda kepang, mereka berkata kuda kepang telah diharamkan di negeri Johor. Kalau pengharaman kuda kepang ini bertambah, maka muzik traditional ini akan pupus pada masa yang akan datang. Saya berharap pihak berkenaan boleh mengambil tindakan untuk mengekalkan muzik traditional ini supaya ia dapat diwarisi turun-temurun.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua kumpulan ini kerana telah membuka minda saya tentang keroncong dan kuda kepang. Tahniah kepada kamu semua.........

0 comments:

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 TEOH Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template